Surah 81


"[81.1] Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);

[81.2] Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;

[81.3] Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu);

[81.4] Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;

[81.5] Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;

[81.6] Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;

[81.7] Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;

[81.8] Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, -

[81.9] Dengan dosa apakah ia dibunuh?

[81.10] Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;

[81.11] Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;

[81.12] Dan apabila neraka dinyalakan menjulang;

[81.13] Dan apabila Syurga didekatkan;

[81.14] (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.

[81.15] Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;

[81.16] Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;

[81.17] Dan malam, apabila ia hampir habis,

[81.18] Dan siang, apabila ia mulai terang;

[81.19] Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) Utusan yang mulia,

[81.20] Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,

[81.21] Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.

[81.22] Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh);

[81.23] Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.

[81.24] Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.

[81.25] Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.

[81.26] (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih menyeleweng dari jalan Al-Quran)?

[81.27] Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:

[81.28] Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang betul.

[81.29] Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam."



Shodaqallahu 'Adziim;